CintA


Indahnya rasa cinta itu. Ia hadir dan menjadikan 2 jiwa yang berbeza itu satu. Bisa menghubungkan rasa hati yang tiada persamaan. Cinta bisa mencipta impian dua insan dan satukannya dengan lafaz dan ijab. Sangat indah. Ia diibaratkan pelamin dan taman syurga. Ia memberi dua hati menjadi raja dan permaisuri. Menjadi insan yang dirai. Sangat indah cinta itu ia hadir dengan berjuta bunga-bunga dan warna yang indah. Moga cinta begini akan terus kekal ke akhirnya.
Kehidupan ini juga sangat indah. Kadang-kadang kita boleh meminjam keindahan cerita hidup insan lain sebagai kisah hidup kita. Kita cuma memainkan peranan bagi mewujudkan perhubungan antara dua insan. Ia menakjubkan dan membuat kita bagai berada di sebuah pentas lakonan.aku sangat menghargai hari-hari yang ku lalui. Ia bukan seirama. Ia sangat merdu dalam berlagu. Hidup ini sebenarnya ada banyak ceritanya walau pada dasarnya kita merasa hambar.
Sebuah pentas lakonan itu juga bukanlah selalu ceria. Bukan jua selalu hambar. Tetapi ia tetap menggembirakan pelakonnya. Malah ia menarik ramai penonton. Ia bukan sekadar berlakon dan ditonton. Ia memerlukan latar belakang, lagu dan klimaks. Begitu hidup kita. Kita harus mencoraknya agar menjadi lebih indah. Lebih menarik. Dan lebih bahagia.
Aku hanya mengharap cinta itu wujud dalam kehidupan aku. Aku inginkan keindahan bercinta itu. Hingga aku lupa dalam sebuah kehidupan itu ia perlukan pelbagai perkara. Hidup perlukan kesedihan, pengorbanan dan kebahagiaan. Hidup perlu ketaatan dan kepercayaan. Ia bukan sekadar mencari cinta, menagih cinta dan menghampakan cinta.
Aku lupa, apa jua yang aku lakukan aku hanya mencari pasangan hidup. Aku mengharap cinta dan aku inginkan layanan umpama akulah raja. Tapi aku lupa memberi cinta pada orang lain. Aku lupa melayan mereka seperti raja. Hidup ini umpama roda. Ia sama seperti bumi. Berbentuk bulat. Ia berputar dan menjadikan satu kitaran. Ia memerlukan pemberian dan menerima balasan. Sangat unik hidup insan.
Jika aku mahukan cinta dengan penghormatan. Aku harus memberi penghormatan kepada cinta. Aku harus melalui cinta dengan sesungguhnya maksud cinta. Jika aku mahukan bimbingan. Aku jua harus membimbing jiwa aku. Kadang-kadang apa yang dicipta Dia untuk hambaNya sangat indah. Bukanlah insan yang baik itu hanya untuk pasangan yang baik. Tetapi ia menciptanya bagi sebuah jalan cerita. Bagi membantu dan membimbing. Bagi saling menyempurnakan. Itu yang telah ditulis dan kita harus menerima dengan hati yang terbuka.
Cinta, cinta adalah antara benda yang aku kalah untuk memiliki. Ramai yang memiliki cinta mereka. Cinta yang diimpikan. Tetapi bukan aku. Cinta yang aku miliki menyakitkan. Jauh dari rasa bahagia. Tiada kerinduan. Hanya untuk menemani kebosanan.aku belum bertemu dengan sebenarnya rasa cinta. Aku masih jauh dari perjalanan mencari cinta. Aku seharusnya berhenti mencari dan terus menanti. Kerana aku percaya cinta bukan untuk diburu, tetapi ia akan hadir bila tiba masanya. Bila aku sudah bersedia dan akan menerima apa jua seadanya ia. Mungkin?
Anak orang kaya tak pernah rasa susah harta kerana dia tak pernah miskin. Dan dia akan mensia-siakan apa yang ada tanpa rasa berharga. Tapi anak orang yang biasa kesusahan akan terus menghargai harta walaupun secebis kain yang sudah dipakai. Perbezaan inilah yang menjadikan rasa cinta dua insan itu berbeza. Mereka yang sering terluka akan sangat menghargai kesetiaan. Tapi mereka yang belum rasa dilukai kan terus melukai cinta. Tapi ia bukanlah kesalahan mereka, mereka belum kenal rasa luka, jadi bagaimana harus merasakannya. Tak kenal, maka tak cinta. Indah aturan dunia.
Begitu juga tafsiran tentang cinta. Ia sangat subjektif dan sukar difahamkan. Oleh itu kita sering terpengaruh dengan apa yang dilihat, didengar dan dibaca. Lagu cinta sering mendayu-dayu menceritakan kehebatan cinta itu dari hati. Ia indah dan sangat mulia. Ia tak memandang rupa, cara hidup dan pendapatan. Ia harus ada seadanya. Cerita cinta pula sering dihiasi dengan kehidupan yang sempurna. Ia mempunyai kesenangan, kedudukan dan kewanagan. Segalanya nampak hebat. Dalam drama cinta pula ia seolah-olah cinta adalah sesuatu yang sukar dimiliki tetapi apabila dimiliki ia penuh onak dan duri.
Namun persamaannya, kesemua ini adalah apa yang insan impi dan angan-angankan. Mungkin dari pengalaman atau keinginan. Bagi peminat cinta barat, ia menerima perhubungan intim antara sepasang kekasih. Ia menerima erti kata seks. Tapi bagi mereka yang mengagung-agungkan percintaan islam. Ia menerima erti jodoh. Cinta yang ikhlas atas dasar sesuatu yang tak dapat dikatakan kerana cinta yang hakiki dan suci. Oleh itu jika ada insan yang masih mencari kefahamannya, mungkin ini menjadikan dia lebih keliru. Ia ingin percintaan suci sedangkan ia bercinta dengan seorang yang sering didedahkan dengan erti cinta barat.
Inilah yang menjadi aku susah menerima cinta. Lelaki kini kurang agamanya. Apa harus aku lakukan untuk memiliki rasa cinta abadi. Ya aku sering melupakan ketaatan aku. Tapi aku masih tetap ingkar. Apa yang sepatutnya aku lakukan. Aku yakin sebenarnya nilaian setia dan cinta ada disitu. Aku akan merasa kosong jika Dia meninggalkan aku. Maka jiwaku harus diisi dengan rasa cinta kepada Nya.
Lakaran-lakaran kehidupan itu indah. Ketenangan diandaikan kebiruan. Kedamaian diandaikan kehijauan dan cinta itu kemerahan. Sangat indah hidup ini walau kadangkala ada kekosongan dan kesuraman. Tanpa kesuraman dimana perginya keserasian sebuah lukisan. Tiada rona dan jika di dalam lagu tiada nada dan rentaknya. Begitu indahnya lukisan kehidupan ini. Sangat cantik.  Sama seperti lagu yang merdu dan melodi yang indah.
Kehidupan itu memang sangat indah. Pada permulaan percintaan kita merasakan sangat bahagia. Kita lupa akan segalanya. Kita ingin terus menyempurnakan cinta dengan hidup bersama. Kita lupa apa yang harus ada dalam sebuah perhubungan cinta. Kita terlalu taksub untuk di belai dan di sentuh. Kita lupa apa yang haram dan halal.
Namun bila kita melayari cinta, kita mula belajar erti kehidupan. Kita mula mengerti keperluan sebuah perhubungan. Kita mula merasa segala bebanan dan mula meragukan cinta. Cinta itu mengajar kita menjadi lebih sabar dan matang. Matang dalam menjalani kehidupan dan sabar dalam mengukur rasa cinta. Indah sungguh kehidupan ini. Ia mengajar kita banyak perkara dan membuat kita sedar apa yang seharusnya kita lalui.
Ia biar kita kecewa supaya kita terus menghargai setiap cinta yang diberi. Ia biar kita menangis supaya kita lebih menghargai setiap masa kita ketawa. Ia membuat kita hampa supaya kita mensyukuri setiap kegembiraan yang kita terima. Sangat unik ukiran alam ini . ia membuat kita melalui hari-hari kita dengan pelbagai rasa.