KataHati

Setiap kehidupan manusia memang mempunyai jalan cerita yang tak mungkin dimiliki oleh orang lain. Jalan cerita yang berbeza. Yang tak pernah tercapai oleh akal dan perasaan. Kadang-kadang ia begitu pantas terjadi. Kadang-kadang ia membuat kita sangsi dan keliru untuk meneruskan kehidupan. Kadang-kadang ia amat membahagiakan. Namun, kehidupan ini adalah realiti. Ia bukan mimpi yang bila kita bangun ia hilang dan bila kita tidur ia tak kembali lagi. Kehidupan adalah sesuatu yang meninggalkan bekas pada apa yang tertinggal.
Memang benar, apa yang berlalu biarkan ia berlalu. Tak mungkin pokok yang telah berbuah kita ingin kembalikan ia menjadi benih. Dan jangan paksa esok datang lebih awal kerana Dia telah mencipta hari-hari yang terbaik untuk kita. Tetapi sebagai manusia, ia membuat kita terus tertanya-tanya adakah mentari yang datang esok sama seperti kelmarin? Hari ini yang sedang dilalui kita lupakan, kita terus memikirkan tentang esok dan mengingati kelmarin. Kita lupa tentang hari ini yang akan terus menjadi esok dan sesuatu yang telah kita fikirkan sebelum dia datang. Ini lah kehidupan.
Seperti aku, aku sentiasa menanti hari esok. Aku terus mencari sinaran yang akan terbit untuk hari esok. Aku juga sering tersenyum merindui semalam. Aku lupa hari yang aku lalui hari ini. Apa yang terjadi. Apa yang membahagiakan aku dan apa yang terus membuat aku sedih. Aku terus merasakan hidup ini bosan. Kerana ia telah berlalu dan belum datang. Tapi aku pasti jika aku menghargai apa yang sedang aku lalui, hidup aku akan lebih sempurna. Mungkinkah?
Aku tinggalkan kelmarin dengan mengharapkan hari ini hadir dengan lebih cepat. Aku ingin ia datang dengan membawa kebahagiaan yang aku pinta. Aku mahu ia datang memberi kehidupan seperti di dalam novel cinta. Aku ingin dia datang menjadikan aku srikandi di dunia aku sendiri. Tapi setiap kali hari ini datang, aku mengharapkan bila tibanya esok. Aku lupa bagaimana impian aku semalam. Begini hidup aku seharian hingga ia berlalu dan aku buntu.
Sebenarnya, aku sedang mengharapkan hari yang datang bersama rasa cinta. Hati aku sedang kosong dan meronta untuk diisi. Diisi oleh rasa cinta yang aku sendiri tak dapat menafsirkan bagaimana rasanya. Seronokkah rasa cinta itu? Bahagiakah menjadi insan yang dicinta? Hati aku menanti rasa cinta yang tak mungkin akan terus menghilang. Hatiku minta agar hari yang aku lalui penuh dengan bunga-bunga cinta dan bahagia.


Benar hati ini kadang-kadang gila. Gila dengan apa yang berlaku. Aku keliru. Semalam aku merasakan sangat bosan dengan kehidupan seharian. Hari ini aku sangat menghargai kedatangan semalam. Aku runsing. Bila memikirkan kebenaran hati ini, aku bagai di dalam sebuah delima. Hari yang aku lalui umpama satu pertaruhan, pertandingan menanti hari yang mana paling hebat.
Aku sangat menghargai hari-hari yang berlalu. Kerana hari-hari ini membuat aku lebih matang. Matang dalam berfikir. Matang dalam mengenali dunia. Kadang-kadang dunia ini berputar dengan lajunya. Tapi kadang-kadang tidak. Dunia aku sering dihadiri dengan syak wasangka dan obsesi yang terlalu kuat. Hati aku sering berkata, mungkinkah mereka benar-benar baik? Mungkinkah mereka sayang pada aku? Dan kata-kata ini menjadi punca sebuah keraguan. Keraguan yang bisa membutakan hati dan perasaan aku.
Benar, jiwa aku sedang sakit. Sakit dengan kekeliruan ini. Aku keliru dalam menghitung dan mencipta sebuah kehidupan dan masa depan. Masa depan? Suatu ketika dan satu masa yang aku tidak pasti bila tibanya. Satu masa yang aku tidak pasti keadaannya. Benar, biarlah ia datang sendirinya, dan aku teruskan kehidupan aku. Tapi jiwa aku masih keliru. Mungkin hari ini aku sangat bersemangat untuk melaluinya. Tapi bagaimana esok? Mungkinkah aku masih kuat.
Tidak. Aku sering keliru dengan apa yang sedang aku lalui. Aku sangat obsesi dalam kehidupan aku. Kadang-kadang aku hairan. Benarkah ada kehidupan seperti di novel cinta. Mereka bisa memiliki cinta dan kebahagiaan dengan mudah. Mereka berkorban dan ia dibalas dengan berjuta kebahagiaan. Benarkah, aku bisa menjadi begitu? Aku tak pasti. Mungkin sebenarnya aku sedang bahagia dan aku sendiri tak merasainya sehingga ia menjadi esok yang berlalu. 
 Aku pernah mengimpikan cinta yang suci. Rasa cinta yang menerima aku seadanya aku. Rasa cinta yang membahagiakan aku. Cinta yang tak buat aku malu dengan kehadiran diri aku. Cinta yang buat aku hebat dalam kehadirannya. Cinta yang menjadikan aku permaisuri dalam hidupnya. Cinta yang membela dan mempertahankan maruah diri aku. Cinta yang menghormati aku. Tapi, ini semua hanyalah impian. Impian yang aku bisa wujudkan dalam angan-angan aku.
Ya, angan-angan yang hadir setiap kali aku keseorangan. Angan yang aku cipta untuk aku sendiri. Angan-angan yang hanya aku dapat fikirkan. Angan-angan yang langsung tak akan menjadi kenyataan.aku sangat runsing dan aku rasa dunia aku hanya indah dalam angan dan mimpi yang aku inginkan. Mana keindahan realiti itu pergi? Jika nikmat cinta itu tak dapat aku kecapi. Harapnya adalah nikmat cinta yang lain untuk diri aku. Jika jodoh yang baik itu tidak bersama aku, harapnya adalah perkara yang baik lain untuk aku.
Mungkin aku tidak layak memiliki cinta dan kasih dari seorang yang baik. Mungkin aku tak layak mendapat penghormatan itu. Mungkin kerana itu cinta yang hadir dalam diri aku hanya palsu. Hanya sekadar untuk datang, dan buat aku seperti tiada harga diri, ketawakan aku, buat aku rasa hampa dan buat aku seperti tak punya rasa cinta. Cinta yang datang hanya untuk bergembira.

Aku sedih, aku sedih bila melihat mereka yang melukakan cinta yang penuh penghormatan. Cinta yang memandang tinggi pada maruah diri mereka. Aku ingin cinta sebegitu. Tapi tak selayaknya aku memiliki semua itu. Aku sedih, sedih melihat cinta mereka yang sempurna tapi dibiarkan sahaja. mungkin mereka belum memahami erti dan rasa cinta. seperti aku. mungkin inilah hikmah aku diketemukan dengan cinta yang suram, aku dapat belajar dan terus menghargai cinta dan aku yakin bila cinta hakiki itu tiba, aku akan pastikan segala yang tercipta untuk ku adalah miliknya... amin~~~