HidupItu

Aku faham kenapa kita perlu meletakkan diri kita di paras yang sederhana. Aku faham kenapa kita harus terus berada di paras yang selamat. Aku jua faham kenapa kita tidak boleh terlalu taksub dengan apa yang kita lakukan. Hal ini kerana kita tidak akan selalu berada di atas. Kita akan jatuh dan harus bangun semula. Jika kita taksub dan selalu rasa hebat, kita akan lupa siapa diri kita. Kita akan bongkak. Bongkak dengan kebodohan kita. Kita lupa aturan dunia. Kita akan hilang rasa ikhlas. Dan kita akan takut dipandang hina. Ketakutan itu yang akan menjatuhkan kita kerana kita akan menjadi terlalu ego dan melalui hari-hari dengan rasa bongkak.


Kita hidup dalam satu kitaran yang sangat mudah. Kita hidup dalam satu perhubungan. Hubungan antara beberapa hati dengan satu rasa. Sangat indah apa yang telah di aturkanNya. Setiap orang mempunyai rasa. Mempunyai harapan dan impian. Dan kehidupan itu telah di wujudkan dengan rasa , harapan dan impian ini. Ia bukan sekadar sebuah kelahiran, ia hadir dengan satu garisan yang sangat nipis.


Garisan yang menjadikan manusia itu satu batasan iaitu ego. Kerana setiap manusia itu taksub ingin memiliki impian mereka, mereka akan mula lupa tujuan utama sebuah kehidupan. Mereka akan mula mementingkan diri dan hilang sebuah ikatan. Namun jauh disudut hati mereka terdetik rasa bersalah dan kesal. Sangat hebat permainan kehidupan itu. Ia mengajak kita memilih cara hidup yang kita inginkan. Dia memberi kita pilihan dan ia membuat kita berdebar menanti pengakhiran jalan pilihan kita. Ia buat kita rasa bahagia dan membuat kita rasa sedih. Inilah ukuran kehidupan ini.


Pencipta itu sangat Bijaksana. Memang benar rasa sayang itu sangat indah. Ia menjadikan segala yang buruk itu cantik dan segala yang kurang itu sempurna. Rasa sayang menjadikan kita buta dan bisu. Kita akan terus melihat dengan rasa yang berbunga-bunga. Kita akan tutup segala keaiban orang yang disayangi dan hanya melihat segala kebaikan yang dilakukan walau hanya sekecil kuman. Itu apa selalu dikatakan tentang sayang.


Benci pula sebaliknya. Ia membuat kita jadi sangat sombong dan cerewet. Ia membuat kita jadi seorang yang sangat teliti. Ia membuat kita mencari setiap kesalahan biar pun lebih kecil dari kuman. Rasa benci akan buat kita jadi sangat bongkak. Kita bagaikan duri tidak boleh disentuh walaupun hanya sedikit. Ia membuat orang yang dibenci merasakan sakit dan seksa. Ia juga menyeksa perasaan kita dan akan selalu mengeluarkan bisa. Ia seperti lebah yang bersedia untuk menyengat. Begitu tafsirannya tentang benci.


Tetapi rasa sayang dan benci itu sangat hampir dan ia adalah satu. Jika kita tidak pernah memiliki rasa benci, kita akan lupa bagaimana rasanya sayang. Ia seperti bunga dan lebah. Ia saling memerlukan. Jika sayang itu bunga, benci itu lebah. Bila kita terlalu sayang ia akan melepasi garisan benci dan jika kita terlalu benci ia akan melepasi garisan sayang. Di sini perlunya rasa sederhana. Disini mengajar kita erti kesederhanaan. Kerana kita harus melalui setiap kitaran. Ia bukan sekadar pembesaran tapi ia sebuah kehidupan dalam menjadi insan. Jika asid itu penghakis dan alkali itu penghalang maka seimbangkannya maka ia akan natural. Itu apa yang telah disediakanNya untuk kita belajar soal hidup. Sangat unik.


Aku seperti seorang yang baru menghayati erti kehidupan ini. Selalunya kita menjadikan orang tua itu idola dan tauladan. Tetapi sebenarnya apa yang perlu kita contohi adalah bayi. Baginya segalanya mungkin didunia ini. Segalanya baru dan harus diterokai. Harus belajar dan mencuba dan harus diketahui. Bagi orang yang tua pula segalanya mustahil. Sangat pejal dan susah. Namun kita harus pandai dalam membezakan yang mana betul dan salah. Kerana bayi itu masih belum mengetahui sedangkan kita sudah bijak dalam memilih. Yang pasti sikap dan semangat boleh itu yang harus kita turuti.


Resamnya hidup ini juga punya penyebabnya. Adakah singa dihutan tiada rasa sayang? Adakah ikan dilautan tiada kehidupan? Dan adakah pencuri itu jahat?ya memang, kita merasakan ia begitu. Bagi mereka yang takut dengan singa memang tidak pernah fikir soal perasaan hidupan itu. Bagi penggemar ikan pula tidak pernah memikirkan soal kehidupan ikan dan mangsa kecurian akan terus menganggap pencuri itu jahat. Namun sebenarnya singa itu sangat sayangkan anak-anak dan kumpulannya. Ikan juga ada kehidupan dan tahu pengakhiran mereka dan pencuri itu memang jahat dan kejam. Namun mungkin dia tersepit dalam kehidupan yang dia sendiri memilihnya. Dia tidak faham erti hidup dan sangat taksub untuk terus hidup dan mencari jalan singkat bagi menyempurnakan sebuah kehidupan. Mereka semua tetap ada kitaran dan keluarga dalam kehidupan.


Kita harus renung dengan kejadian alam. Ia mengajar kita pelbagai perkara dan tauladan. Kejadian alam ini mengajar kita erti sebenar sebuah kehidupan. Air laut itu sangat tenang diwaktu malam. Ia sangat indah untuk dinikmati. Namun bila tiba waktu dia mengganas, ia akan menakutkan kita dan sangat bahaya. Sama seperti api, kecilnya dia kawan namun bila marak, dia harus dilawan. Begitu kehidupan. Bila kita tenang dan bahagia kita akan menatang kehidupan itu. Namun bila kita kesusahan, kita akan menentang kehidupan itu. Bila kita sayang, kita memuja insan itu, namun bila kita benci, kita akan mengeji orang itu. Unik kehidupan ini.


Ibarat ombak yang besar, bila badai yang melanda dilaut kita seharusnya mengikut rentaknya. Jangan menentang ombak yang besar kerana dia akan memusnahkan kita. Namun biar lah dia membawa kita. Berpautlah pada pantai bila dia menolak kita di ketepian. Api pula kawallah dia. Jagan biar ia terus marak. Halanglah dia dengan benda yang dapat menghalangnya, jangan terus marakkannya kerana ia membinasakan. Begitu kehidupan, bila bahagia kita lalui dengan hati yang tenang dan bila mula sengsara kita ubati dan carilah penawar. Bila sayang kita jagalah dengan baik, tapi bila benci kita perbaikilah dengan keikhlasan.

Kadang-kadang ia nampak mudah untuk difikir dan diibaratkan. Namun sebanarnya ia sangat sukar untuk ditepati. Sama seperti hidup aku. Dalam pemikiran aku segalanya mudah belaka. Tetapi hakikatnya ia amat sukar. Aku ingin terus bermimpi. Mimpi sebuah keindahan dan kenikmatan. Berangan-angan memiliki kehidupan. Meminjam jalan cerita di kaca televisyen. Meminjam jalan cerita di novel-novel cinta. Namun ia tetap gagal. Ia membuat aku tak sabar mengalaminya sendiri. Lagu-lagu cinta umpama kekasih yang sedang merayu dan berjanji pada aku. Namun aku terus menanti. Menanti ia terjadi.

Benarkah ia belum terjadi? Sebenarnya sejak zaman persekolahan, aku sudah memiliki sebuah kisah kehidupan yang indah. Aku pernah rasa diselamatkan. Aku pernah rasa dimusuhi. Aku pernah rasa dicintai. Aku pernah rasa dikagumi dan aku pernah menjadi sri kandi dalam cerita hidup aku sendiri. Namun segalanya tidak kekal sama seperti kehidupan. Ia sebuah kitaran dan aku mudah melupakan. Aku sangat rindu saat-saat itu.

Saat dimana aku sangat digeruni kerana menjadi budak bandar yang seketika. Saat aku memiliki teman-teman yang sangat nakal. Saat aku dijadikan idola. Saat aku memiliki seorang sahabat yang penuh dengan janji dan kata-kata yang di dusta. Saat bila orang memandang aku dengan rasa hormat dan setia. Saat aku dilihat seperti orang yang hebat. Dan saat bila aku boleh mengharap bila aku dalam terdesak. Aku rindu saat-saat itu. Mungkinkah ia akan kembali? Mungkin...

Hidup itu memang sesuatu yang unik. Bila ia tiada, kita akan memikirkan dan ingat tentangnya. Tapi bila ia di depan mata kita akan mensia-siakan peluang yang ada. Aku sangat runsing dengan hati ini. Kadang-kadang ia sangat merindu, tapi kadang-kadang ia sangat membenci. Aku inginkan sebuah kehidupan yang wujud dalam semua kisah cinta. Sangat bahagia.

Mampukah aku memilikinya? Sedangkan setiap kali aku baru mengorak langkah, ia bagai cuba menjauh. Sangat jauh. Bila ia akan hadir untuk aku? Kenapa aku tidak selayaknya memilikinya? Aku sangat hairan.

Persoalan yang aku tak bisa menjawab. Kadang-kadang aku ingin mengubah tafsiran hidup ini tentang aku. Tapi ia sangat mustahil kerana kehidupan aku itu sudah sangat sinonim. Sinonim dengan persekitaran dan teman-teman. Aku memerlukan cinta yang abadi. Cinta yang boleh dimiliki oleh teman-teman yang pernah melalui.

Dasarnya dalam sebuah pencarian itu sangat sukar. Tapi bila kita hanya mengikuti dan menanti waktunya, ia akan menjadi sangat mudah. Umpama seperti mencari barang, bila kita ingin dan terdesak untuk menggunakannya. Ia sangat sukar di cari, namun bila tidak terlalu terdesak memerlukannya ia akan muncul dengan tiba-tiba. Itu yang aku ertikan tentang pencarian tentang cinta sebenarnya. Aku masih runsing dan sangat kosong.